DUNGUN: Seorang maut manakala tujuh lagi cedera termasuk seorang bayi perempuan berusia dua bulan dalam kemalangan membabitkan kereta dan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 88, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan petang tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Dahlan Mohd Nor berkata mangsa yang terbunuh, Mohd Yazid Awi, 44, yang memandu kereta jenis Hyundai Getz, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pada 3.30 petang tadi.
Isteri dan seorang anak Mohd Yazid yang belum dikenalpasti identitinya yang turut berada dalam kereta itu hanya mengalami cedera ringan.
Sementara itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, Baharin Endut, 30, yang cedera parah di bahagian paha, tersepit di tempat duduknya dan hanya dapat dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat yang dikejar ke tempat kejadian, 20 minit kemudian.
"Anaknya yang berumur dua tahun Faris Ibad, koma manakala isteri Baharin, Raja Mariani Raja Ali, 29, dan dua lagi anak mereka, Faris Ikbal, empat tahun dan Shah Innah yang berumur 60 hari, hanya mengalami cedera ringan.
"Semua mangsa yang cedera termasuk kanak-kanak yang koma kini dirawat di Hospital Daerah Dungun," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Mayat mangsa yang terbunuh dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
Kereta yang dipandu Mohd Yazid yang datang dari arah Paka, Kemaman, dipercayai bertembung dengan Toyota Hilux yang dipandu Baharin yang datang dari arah Kuala Terengganu menuju ke Paka.
No comments:
Post a Comment